Thursday, January 19, 2012

Usahawan Apa dan Bagaimana Harus Bermula?

oleh Dato’ Dr.  Mohd. Fadzilah Kamsah

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah dengan rahmat kasih sayang Allah, Allah izin dapat menulis untuk entri kali yang sangat menarik dengan merujuk kolum Cerdik Baik dalam Majalah Solusi isu no. 38. Pada mulanya, saya terlihat ringkasan dalam bentuk ayat pendek yang penulis fokuskan iaitu “Usahawan bertaqwa memperoleh rezeki tanpa diduga”.

Saya pernah bertanya mengenai prosedur untuk merujuk dan menulis semula isu-isu yang dikupas di dalam solusi, seorang staf memaklumkan bagi mereka yang membuat rujukan dan mengulang siar mesti meletakkan nama majalah dan penulis. Ini untuk manfaat semua juga untuk lebih mudah merujuk semula secara langsung kepada majalah solusi jika ada isu berbangkit atau bagi mendapat kefahaman yang lebih mendalam. Pastinya dengan cara membelinya di pasaran (^_^)

Sebelum ini Allah izin ada juga membaca kisah2 usahawan-usahawan Muslim yang sudah cemerlang dalam melaksanakan amanah mereka. Mereka sangat bermanfaat kepada ummat Islam. Rasulullah saw, insan agung yang kita cintai juga merupakan seorang usahawan.

Inshaallah dikongsikan pembacaan tajuk berkenaan. Wallahu a'lam. Moga Allah redha. amiin.

Usahawan atau dalam istilah bahasa Inggeris, entrepreneur- dipinjam daripada perkataan Perancis, entreprendre, yang bermaksud memikul tugas atau mencuba. Usahawan adalah individu atau kumpulan individu yang:

1. Terlibat dalam perniagaan sama ada:
-mengilang (mengeluarkan atau membuat barang atau perkhidmatan)
-menjual
-berdagang

2. Menjadi pemilik tunggal bagi syarikatnya

3. Telah stabil atau mantap dari segi keperluan harian, tetapi masih bercita-cita untuk mengembangkan pendapatan atau hartanya.

Usahawan juga ialah individu yang memobilasikan modal, mengguna pakai sumber asli, mewujudkan pasaran dan menjalankan perniagaan. Ia menggabungkan sifat manusia yang ingin maju, berketerampilan, memilihi kebolehan luar biasa dan ada dorongan  untuk menterjemahkan sumber dan peluang kepada aktiviti yang membawa keuntungan.

Takrif Lain Usahawan

Usahawan atau keusahawanan ditakrifkan mengikut perspektif yang berbeza-beza oleh para sarjana ternama antaranya:
-Frank H.Knight-seorang yang mengambil risiko
-Adam Smith-individu yang membentuk organisasi untuk tujuan komersial. Ia mempunyai pandangan yang jauh dan berupaya mengenal pasti potensi permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan.
-Jeffry Thomas-seorang yang bertindak atas usahayang ada padanya dengan segala kekuasaan, serta memburu peluang yang ada.
-David McClelland-seorang yang pada asalnya digerakkan untuk mencapai kecemerlangan dan semangat untuk membangun.
-Lowell Busenitz-seorang yang cenderung kearah keyakinan positif yang luar biasa.
-Richard M.Bird- seorang yang genius, celik dan panjang akal, cekal, penyumbang saran, oportunis, kreatif dan tidak sentimental.
-Richard Cantillon-seorang yang membeli barangan atau factor perkhidmatan dengan harga tertentu dengan rancangan untuk menjualnya dengan harga yang tidak pasti pada masa hadapan.
-Frederick Harbison-seorang yang mempunyai kemahiran untuk membangunkan sesebuah organisasi.
-Collins dan Moore-seorang yang kuat, didorong oleh semangat untuk bebas dan cemerlang serta tidak akan menyerah kalah.

Sementara itu, ada juga yang mentakrifkan usahawan sebagai:
-Usahawan atau kumpulan individu yang menubuhkan atau menerajui perniagaan sendiri.
-Seseorang yang memikul dan menjalankan tugas.
-Usahawan juga dipanggil pengusaha, peniaga atau pedagang.

Seorang usahawan tidak dilahirkan semula jadi. Maknanya, anak seorang usahawan tidak semestinya menjadi usahawan juga. Malah, usahawan tidak boleh dicipta sekelip mata.

Seorang usahawan boleh dibentuk, dimotivasi dan ditanamkan minat untuk memulakan perniagaan. Setiap individu mempunyai potensi tertentu yang boleh dikenal pasti, dicungkil dan dikembangkan melalui program latihan sehingga menjadi seorang usahawan.

Jenis Usahawan

Mengikut George Douglas Howard Cole (1959), usahawan terbahagi kepada empat kategori iaitu pembaharu atau pengubah, pencipta, penganjur yang terlalu optimistik dan pembina organisasi.

Burton W.Folsom pula mengelaskan usahawan kepada dua kategori iaitu:
i. Usahawan Politik-Usahawan yang menggunakan pengaruh politik untuk mendapatkan habuan melalui geran, subsidi, projek yang dilindungi, kontrak kerajaan yang dimonopoli dan urusan lain yang diatur dengan kerajaan. Usahawan ini juga dipanggil usahawan kroni atau usahawan kebajikan.

ii. Usahawan Pasaran- Usahawan yang beroperasi tanpa apa-apa bantuan daripada pihak kerajaan. Usahawan ini juga dipanggil usahawan korporat (corporate entrepreneur). Termasuk dalam kategori ini ialah usahawan teknologi dan usahawan francais.

Sikap Seorang Usahawan

Banyak penyelidikan yang telah dijalankan menunjukkan bahawa usahawan-usahawan yakin kepada keupayaan mereka untuk mengawal takdir kendiri. Ini bersesuaian dengan kata-kata Sayidina Umar r.a.: “Jangan ada seorang antara kamu yang enggan mencari rezeki dan hanya brkata: ‘Ya Allah, berilah rezeki kepadaku,’ sedangkan dia tahu langit tidak akan menurunkan hujan emas atau perak.”

Kekuatan sifat taqwa seorang usahawan sering membolehkannya memperoleh rezeki yang tidak diduga seperti firman Allah yang bermaksud: “Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkan) serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.”

Disebabkan kepercayaan ini, ramai usahawan bertindak dengan cara yang amat individualistic, malah sebahagiannya bergerak cergasdan aktif dengan kadar luar biasa. Tindakan ini melahirkan sikap sanggup menerima banyak kerja dalam satu masa yang tidak mampu diterima oleh orang biasa. Seorang usahawan juga terlalu asyik membina reputasinya serta mempunyai sikap super dedikasi terhadap konsep, produk dan usaha perniagaannya.

Apa itu Keusahawanan?
Ia merupakan proses pewujudan dan pengembangan perniagaan secara terkumpul yang boleh membentuk daya tenaga pembangunan Negara demi kemakmuran masyarakat.

Keusahawanan Menurut Perspektif Islam

Keusahawan ialah satu bidang kerja yang mulia serta dipandang tinggi dalam Islam. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Seorang yang keluar pada waktu pagi, (kemudian pulang) memikul seberkas kayu api di atas belakangnya, lalu dia memberi sedekah (nafkah daripada usahanya) dan berasa cukup dengannya (tidak bergantung) daripada manusia lebih baik baginya daripada meminta-minta daripada orang lain samada orang tersebut memberikannya atau tidak. Ini kerana tangan di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah.  Mulakan (sedekah) dengan orang yang dibawah tanggunganmu.” (Riwayat Muslim)

Rasulullah s.a.w juga bersabda yang bermaksud: “Tidak ada makananyang dimakan oleh seseorang lebih baik daripada usaha tangannya sendiri. Nabi Daud a.s. makan daripada hasil usahanya sendiri.” (Riwayat al-Bukhari)

Islam tidak menggalakkan seseorang itu duduk “bertapa” di masjid sebaliknya aktif bekerja mencari rezeki. Dan jangan lupa seseorang itu asyik bekerja mencari rezeki sehingga melupakan tanggungjawabnya kepada Allah s.w.t.

Nabi s.a.w. dan Para Sahabat adalah Ahli Perniagaan
Nabi Muhammad s.a.w  mula berniaga dengan menggembala kambing sejak kecil. Baginda juga telah dilatih berniaga oleh datuknya; Abdul Mutalib dan bapa saudaranya; Abu Talib sejak kecil lagi.
Apabila meningkat remaja, Baginda telahmembawa barang dagangan milik Sayidatina Khadijah ke Syam dan memperoleh keuntungan yang berlipat ganda.

Uthman bin Affan r.a., Khalifah Islam ketiga dan Abdul Rahman bin ‘Auf antara para sahabat yang dijamin masuk syurga juga merupakan ahli perniagaan yang terkenal dalam kalangan masyarakat ketika itu.

 Anda Ingin Menjadi Usahawan

Memiliki perniagaan menjadi impian orang ramai. Memulakan perniagaan itu akan menterjemahkan impian anda menjadi reality. Tetapi terdapat jurang antara impian dengan reality. Jurang ini hanya dapat dilalui dengan perancangan yang teliti.

Selaku bakal pemimpin perniagaan, anda perlu merancang untuk mengelakkan diri daripada terjatuh ke dalam lubang-lubang halangan supaya dapat mencapai matlamat yang membangunkan perniagaan yang menguntungkan.

Check-list Sebelum Memulakan Perniagaan

-Idea yang munasabah
-Ilmu asas perniagaan yang mantap
-Perancangan yang praktikal
-Mampu menyediakan rancangan perniagaan yang komprehensif.
-Dedikasi dalam visi perniagaan.
-Kesungguhan untuk mencapai sasaran.
-Kemahiran teknikal dalam sesuatu bidang.
-Pengetahuan asas pengurusan, kewangan dan simpan kira.
-Mampu menganalisis pasaran.
-Bersedia berhadapan dengan masalah dan berani menyelesaikannya.
-Mampu memindahkan idea kepada reality.

Jika anda “pemain” baru dalam dunia perniagaan, anda perlu menguasai kemahiran dan teknik di atas jika mahu perniagaan anda Berjaya. Memulakan  perniagaan baru seperti menanam sebiji benih. Jika dibaja dan dipupuk, ia akan hidup subur, berakar tunjang dan berdiri kukuh di bumi. Tetapi jika dibiarkan tandus, gersang dan diserang musuh, ia akan kering dan mati terus.

Dato’ Dr.  Mohd. Fadzilah Kamsah
Pakar motivasi yang tidak asing, berkelulusan ijazah pertama di Universiti Malaya, menyambung Sarjana dan Ph.D di Wisconsin, USA dalam bidang Organizational Communication. Kini beliau adalah Pengarah Urusan Excel Training & Consultancy Sdn. Bhd. dan Ketua Pengarah ETC Communications Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment