Wednesday, January 31, 2024

Cinta Hati Ibu

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaykum warahmatullahi wabarakatuh Syaima', Sumayyah, Nuh Al-'Awwadi dan Hud Al-Qushayyi yang dicintai kerana Allah. Ibu menulis warkah ini untuk tatapan anakanda semua walaupun ibu telah dipanggil Allah anakanda semua dapat membacanya dari hati dengan izin Allah. Ibu mohon maaf kerana ibu bukanlah ibu yang sempurna buat anak-anak ibu. Banyak kekurangan dan kelemahan ibu. Moga Allah ampunkan segala dosa dan kekhilafan ibu. Ibu bersyukur sangat Allah kurniakan Syaima', Sumayyah, Nuh Al-'Awwadi dan Hud Al-Qushayyi kepada ibu. Cinta ibu semua tercurahkan kepada kalian semua selepas Allah dan Rasul. Alhamdulillah Allah sayangkan kita kerana itu Allah menguji kita sehingga titik terendah kita bilamana kita kembali berusaha untuk memahami Islam dengan melaksanakan ubudiah iaitu perhambaan diri kepada Allah dengan menjadikan Allah sebagai matlamat kita secara total dan Rasulullah saw sebagai contoh tauladan, Al-Quran sebagai panduan dan peta kehidupan dan mati di jalan Allah sebagai cita-cita tertinggi. Anak-anakku dunia ini bukanlah segala-galanya. Dunia ini boleh menjangkiti kita dengan sifat wahn iaitu cinta dunia dan takut mati. Gerak hati kita, tingkah laku tatakelola kehidupan segalanya kita sandarkan kepada Allah, Rabb pemilik jagat raya dan semua manusia keseluruhannya. Andai tersasar apabila tekad dicemari lumpur dosa dan noda kita ada Allah yang akan menyambut taubat kita. Allah sentiasa membuka pintu kepada setiap manusia seluas-luasnya lebih-lebih lagi bagi mereka yang berjuang semampu mungkin untuk melaksanakan Islam dalam kehidupan. Hakikatnya, kita benar-benar dan amat memerlukan Allah. Wallahu a'lam bissowab. pen off 01/02/2024

Wednesday, January 24, 2024

Dakapan Kalamullah

Bismillahir Rahmanir Rahim Ya Allah, aku memohon hanyasanya kepada-Mu. Aku bersyukur dihadiahkan ujian demi ujian untukku kembali mendakapiMu ya Rahman ya Rahim. Tidak dapat kuungkapkan kesyukuran yang melimpah atas dakapanMu menuntunku kepada kalamMu. Benarlah niat itu suis utamanya. Akanku manfaatkan setiap ruang dan peluang usiaku yang berbaki ini untuk mendekatiMu, mengenal, mencintai dan mentaatiMu dalam setiap helaan nafasku, dalam setiap gerak langkahku in shaa Allah. Jauhkan aku dari sebarang fitnah dunia dan tipu daya yang menipu. Aku mencintaiMu ya Rabb. Pimpinlah aku dan anakanda-anakandaku serta ahli keluargaku ke jalan yang Engkau redha. Tuntunilah kami dan kurniakan kami hidayah dalam melaksanakan tuntutan amal Islami dengan sepenuh jiwa raga bagi semata-mata mendamba RedhaMu. Selebihnya aku serahkan asbab-asbab ini, doa seluruhnya kepadaMu dengan tawakkal yang kusandarkan hanya kepadaMu semata-mata. In shaa Allah. Wallahu a'lam bissowab. Pen off 24/01/2024 1.29 AM.