Sunday, August 28, 2011

Sejarah Kepeguaman Syarie


Profesion Peguam Syarie bukanlah satu profesion yang baru malah, ianya telah bermula di zaman Rasulullah saw lagi. Namun begitu, ianya bukanlah suatu profesion yang khusus pada waktu itu sebagaimana yang diamalkan pada masa kini. 

Peranan sebagai peguam ini pernah dimainkan oleh Rasulullah saw serta sahabat sahabat besar baginda. Sebagai contohnya, Saidina Ali di dalam kes perempuan yang telah beriqrar di hadapan Khalifah Umar r.a, yang ianya telah melakukan zina, akhirnya perempuan ini telah dibebaskan dan iqrar di Mahkamah diketepikan.

Selain itu, Ibn Abbas telah membela perempuan yang telah disabitkan melakukan zina dan hendak direjam oleh Khalifah Othman r.a dengan pembelaan tersebut Khalifah Othman r.a telah membetulkan hukumannya dengan membebaskan perempuan tersebut.

Menyusuri sejarah kepeguaman syarie yang terdapat di zaman Khalifah Umar al-Khatab r.a, dimana, salah seorang sahabat Rasulullah saw, yakni Ka'ab telah berperanan sebagai pemudahcara kepada Khalifah Umar r.a yang tidak memahami pengaduan seorang wanita berkenaan dengan ketidakadilan suaminya dalam membahagikan masa antara ibadah  dan wanita tersebut sebagai seorang isteri. Di dalam pengaduannya, wanita terbabit telah menyatakan kepada Khalifah Umar r.a berkenaan dengan suaminya dengan berkata: "Wahai Amirul Mukminin, aku mempunyai seorang suami yang sering berpuasa di siang hari , dan sering pula beribadah di malam hari".

Di dalam hal ini, Khalifah Umar r.a berfahaman bahawa wanita tersebut hanya ingin menceritakan berkenaan suaminya semata-mata. Lalu, Ka'ab menegur Khalifah Umar dan menerangkan keadaan yang sebenarnya iaitu wanita tersebut sebenarnya ingin mengadu berkenaan dengan ketidakadilan suaminya. Lalu diputuskan oleh Ka'ab supaya suaminya menganggap bahawa dia telah mempunyai empat orang isteri (waktu ibadah ditambah dengan isterinya yang sedia ada). Oleh yang demikian, perlu dibahagiakn masa, tiga hari untuk beribadah manakala hari yang keempat adalah untuk isterinya.

Di dalam riwayat ini, sebenarnya secara tidak langsung Ka'ab telah berperanan sebagai seorang Peguambela dalam memudahkan pembentangan kes di hadapan Khalifah Umar r.a. Justeru itu, ianya menjadi salah satu dalil bahawa profesion Peguam Syarie telah wujud berabad lamanya.

No comments:

Post a Comment