Sunday, August 28, 2011

Pelajar Syariah Perlu Nilai Tambah

oleh Irwan Mohd Subri

Pengajian syariah adalah satu cabang pengajian Islam di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan. Beberapa universiti mempunyai fakulti atau jabatan Syariah/ Fiqh dan Usul seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dan Universiti Darul Iman Malaysia (UDM).

Ini bererti kerajaan memberi ruang kepada pengajian Islam umumnya dan pengajian syariah khususnya untuk dipelajari oleh mereka yang berminat memilih bidang ini. Memandangkan pengajian syariah ini berkait rapat  dengan hukum hakam Islam, ia perlu diambil berat oleh mereka yang terbabit dalam bidang ini.

Ini untuk memastikan legasi ulung mujtahid mazhab fiqh tidak hanya tinggal dalam lipatan sejarah tetapi dilestarikan secara berterusan. Ini beerti perlu ada usaha untuk meningkatkan kemahiran dan nilai tambah pelajar dalam bidang pengajian ini. Kebiasaannya pembelajaran dan pengajaran subjek syariah di semua institut pengajian Islam berbentuk sehala, iaitu guru mengajar dan pelajar mendengar. Cara ini dilihat kurang efektif untuk menghasilkan generasi pelapis mujtahid kerana tiada komunikasi aktif samada antara guru dan pelajar atau antara pelajar sesama mereka.

Kekurangan sistem pembelajaran dan pengajaran seperti ini seolah-olah melahirkan pelajar pasif dalam dan luar kelas. Malah terkadang pelajar yang mengambil jurusan syariah tidak tahu kenapa mereka memilih bidang ini dan tidak berminat dengannya.

Lebih teruk lagi mereka tidak tahu apakah fungsi subjek yang mereka belajar dalam pengajian syariah seperti subjek usul fiqh, fiqh, kaedah fiqh, Siyasah Syariyyah dan lain-lain, sedangkan untuk menjadi mujtahid yang diiktiraf, mereka hendaklah mengetahui, memahami dan mampu mengaplikasi teori yang dipelajari menerusi subjek berkenaan.

Oleh itu, perlu ada mekanisme untuk meningkatkan minat dan kemahiran pelajar syariah di Malaysia. Rentetan daripada itu, untuk meniingkatkan keupayaan dan profesionalisme pelajar pengajian bidang ini, adalah dicadangkan satu subjek 'Mut Ijtihad' diperkenalkan kepada semua pelajar yang mengambil jurusan ini.

Subjek 'Mut Ijtihad' adalah adaptasi daripada subjek 'Mahkamah Mut' dalam pengajian undang-undang. Dalam pengajian bidang undang-undang, wujud satu subjekyang perlu diikuti oleh pelajar iaitu 'Mahkamah Mut' (Moot Court). Dalam subjek ini pelajar akan melakonkan sesuatu perbicaraan olok-olok seolah-olah mereka berada dalam perbicaraan Mahkamah sebenar.

Pembelajarna subjek ini juga diadakan di dalam bilik yang diubahsuai seperti keadaan dalam kamar mahkamah sebenar.

Mahkamah Mut ialah perbicaraan olok-olok yang berkaitan dengan pemakaian akta dan enakmen samada Mahkamah Mut sivil atau syariah terhadap isu-isu tertentu.

Ijtihad pula adalah 'perbicaraan' dan perbincangan isu yang berkaitan dengan pemakaian dalil-dalil, ijma', qiyas pendapat ulama' dan sebagainya samada dalam satu mazhab fiqh atau dalam beberapa mazhab berasaskan fiqh al-muqarran (fiqh perbandingan).


Begitu juga ia meliputi isu-isu yang bersandarkan kepada nas-nas Al-Qur'an dan Sunnah atau isu-isu baru serta semasa yang ketiadaan dalil.


Jika subjek 'Mahkamah Mut' membantu pelajar undang-undang berlatih dan mengalami pengalaman 'perbicaraan' maka begitulah juga 'Mut Ijtihad' bertujuan melatih pelajar pengajian syariah di IPT supaya mahir berijtihad dalam memahami nas-nas Al-Qur'an dan Sunnah. Seterusnya, ia dapat membantu keupayaan dan kebolehan pelajar syariah dalam membina hukum terutama terhadap isu baru yang ketiadaan dalil yang timbul pada setiap zaman.

Dengan adanya subjek 'Mut Ijtihad', ia dapat membantu pelajar dalam bidang syariah secara teori dan praktikalnya supaya mahir dalam pengajian syariah. Subjek 'Mut Ijtihad' tidak hanya meliputi satu subjek seperti Usul Fiqh, bahkan ia boleh meliputi semua subjek lain yang ada dalam pengajian syariah.


Ia mungkin sesuai dilaksanakan di tahun akhir pengajian setelah pelajar mempelajari dan mengetahui asas subjek yang disebutkan sebelum ini. Ia bukanlah adaptasi sepenuhnya daripada subjek 'Mahkamah Mut', tetapi hanya mengambil konsep subjek berkenaan.

Subjek 'Mut Ijtihad' bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar untuk berijtihad seolah-olah mereka adalah mujtahid yang mewakili mazhab fiqh. Ia juga melatih mereka supaya mampu mengaplikasikan teori yg dipelajari dalam kehidupan sebenar atau dalam alam pekerjaan sama seperti pelajar bidang undang-undang mengaplikasikan pengalaman perbicaraan 'Mahkamah Mut' dalam perbicaraan sebenar dalam mahkamah bila mereka bekerja nanti.

Ini adalah lontaeran idea awal dan menulis membuka ruang seluas-luasnya untuk sebarang komentar dan perbincangan untuk memantapkan kemahiran pelajaran pengaijian syariah di IPT tempatan.  Cadangan ini tidak bererti bahawa dia adalah satu-satunya cara untuk meningkatkan kemahiran pelajar pengajian syariah, bahkan ia adlah satu cadangan kearah itu.

___________________________________________________________
penulis ialah pensyarah kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia



















No comments:

Post a Comment