Tuesday, February 20, 2024

Al Hijr Ayat 32 sehingga 51

Bismillahirrahmanirrahim 32. Dia (Allah) berfirman, "Wahai Iblis! Apakah sebabnya kamu (tidak) sujud bersama mereka?" 33. Ia (Iblis) berkata, "Aku sekali-kali tidak akan sujud kepada manusia yang Engkau telah ciptakannya daripada tanah liat kering dan lumpur hitam yang diberi bentuk." 34. Dia (Allah) berfirman, "(Jika begitu) keluarlah engkau dari Syurga, kerana sesungguhnya kamu terkutuk, 35. dan sesungguhnya kutukan itu tetap menimpamu sehingga hari kiamat." 36. Ia (Iblis) berkata, "Ya Tuhanku, (jika begitu) maka berilah tempoh kepadaku sehingga hari (manusia) dibangkitkan." 37. Allah berfirman, "(Baiklah) maka sesungguhnya kamu termasuk di dalam golongan yang diberi penangguhan, 38. sehingga hari yang telah ditentukan (kiamat)." 39. Ia (iblis) berkata, "Tuhanku, oleh kerana Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, aku pasti akan jadikan (kejahatan) terasa indah bagi mereka di bumi, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya., 40. Kecuali hamba-hamba-Mu yang terpilih di antara mereka." 41. Dia (Allah) berfirman, "Ini adalah jalan yang lurus (menuju) kepada-Ku." 42. Sesungguhnya kamu (iblis) tidak berkuasa ke atas hamba-hamba-Ku, kecuali mereka yang mengikutimu, iaitu orang yang sesat. 43. Dan sesungguhnya neraka Jahannam itu benar-benar (tempat) yang telah dijanjikan untuk mereka (pengikut syaitan) semuanya, 44. (Neraka Jahannam) itu mempunyai tujuh pintu. Setiap pintu (telah ditetapkan) untuk golongan tertentu daripada mereka. 45. Sesungguhnya orang yang bertaqwa berada dalam syurga-syurga (taman-taman), dan (di dekat) mata air (yang mengalir). 46. (Allah berfirman), "Masuklah ke dalamnya dengan selamat dan sejahtera." 47. Dan Kami lenyapkan segala rasa dendam yang ada dalam hati mereka; mereka menjadi bersaudara, duduk berhadap-hadapan di atas singgahsana. 48. Mereka tidak berasa penat di dalamnya dan mereka tidak akan dikeluarkan daripadanya. 49. Khabarkanlah kepada hamba-hamba-Ku, bahawa Akulah Yang maha Pengampun, lagi Maha Penyayang, 50. dan sesungguhnya azab-Ku adaah azab yang sangat pedih. 51. Dan khabarkanlah (Muhammad) kepada mereka tentang tetamu Ibrahim (malaikat).

No comments:

Post a Comment