Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah swt, dengan izin Allah, pada minggu cuti lepas, dapat rujuk semula buku Wang, Anda dan Islam di rumah tulisan Al Fadhil Ustaz Dr Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman.
Saya pernah membelek buku ini sebelum ini, tetapi mungkin hidayah Allah tak sampai lagi untuk menghayatinya ketika itu. Saya tertarik untuk membaca isu mengenai kerjaya peguam dan pemasaran produk pinjaman riba. Al Fadhil ustaz mulakan perbincangan dengan menyentuh hukumnya berdasarkan dalil daripada ayat Al-Qur'an dan Hadis Rasulullah saw. Wallahu a'lam.
Inshaallah disini saya kongsikan penulisan mendidik dari Al-Fadhil Ustaz Zaharuddin Abd Rahman. Semoga Allah sentiasa menghadiahkan hidayahNya & memudahkan urusan untuk beramal soleh dengan ilmu yang diperoleh secara ikhlas kerana Allah.
Sebelum itu, saya teringat nasihat pendidik yang dihormati fillah. Peringatan dari murabbi (pendidik): "Apabila seseorang itu bercakap fikrah, menulis fikrah, namun tindakannya tidak fikrah; maka ia tidak fikrah namanya. Ini bukan fikrah Islam."
Allah sebut dalam Al-Qur'an, manusia sejak dilahirkan, alhamdulillah mempunyai fitrah beragama, suka kepada kebaikan dan membenci keburukan. Fikrah menentukan tindakan seseorang. Jika seseorang individu mempunyai fikrah yang syumul yakni kefahaman Islam yang sempurna, setiap perlakuannya samada terang-terangan atau sembunyi adalah ikhlas kerana Allah dan mengikut syariat Allah. Jadi memiliki fikrah atau tidak hanya Allah taala yang tahu kerana ia adalah lestari dari Iman yang berfungsi dan hidup di dalam hati. Wallahu a'lam.
Perkongsian Al-Fadhil Ustaz adalah seperti berikut:
Allah swt mengizinkan umat manusia untuk menikmati apa yang baik di dunia ini. Dicatatkan di dalam Al-Qur'an, firman Allah swt:
Ertinya: "Dialah yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu , maka berjalanlah di segala penjurumu dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya. Dan hanya kepada-Nyalah kamu (kembali setelah) dibangkitkan. (Al-Mulk: 15)
Oleh kerana itu, umat Islam perlu menyedari dan merasai bahawa setiap kali mereka berniaga, bertani dan berusaha keras di dalam kerjaya halal, sebenarnya mereka sedang melaksanakan ayat Allah yang disebut diatas. Ia sekaligus menambah amalan soleh yang dengannya mampu menghampir diri kepada Allah swt.
Mengehadkan amalan soleh kepada perilaku ibadat khusus seperti zikir, solat, umrah, haji, sedekah dan lain-lain ibadah khusus adalah tidak tepat. Jika diselami erti ayat di atas, ia membuktikan bahawa berusaha dan memeriahkan dunia dengan kerjaya dan perniagaan yang bermanfaat lagi halal adalah sebahagian daripada ibadat selagi menuruti syarat-syarat kerjaya yang ditetapkan Allah swt dan Rasul-Nya.
Islam telah meletakkan prinsip yang amat jelas dan terang dalam setiap urusan pemerolehan harta agar prosesnya tidak menzalimi pihak lain secara sedar atau tidak sedar.
Pada masa yang sama Nabi saw mengingatkan kita bahawa:
Ertinya: "Sesungguhnya bagi setiap umat itu cabaran dan ujian, dan ujian bagi umatku adalah harta." (Riwayat At-Tirmizi, no 2337; Ibn Hibban, Al-Hakim: Sohih menurut Al-Hakim dan disepakati Az-Zahabi.
Allah swt menegaskan:
Ertinya: "Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya disisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan. (Al-Kahfi: 46)
Menurut Syeikh Ibn Asyur, ayat daripada Surah Al-Kahfi diatas mengingatkan kita betapa perlunya kita menyedari amal soleh, dan keberkatan adalah lebih perlu diutamakan daripada harta yang banyak tetapi tidak halal. Jadi dalam konteks ini, walaupun anda mendapat faedah pinjaman yang rendah di bank konvensional, ia bukanlah amal soleh kerana ia adalah riba yang haram.
Malangnya bagi umat Islam, apabila bercerita berkenaan perbankan Islam yang halal, yang paling diberikan perhatian 'mega' adalah harganya yang lebih mahal daripada konvensional. Tidak terlihat langsung akan elemen halal dan haram dalam minda dan hati. Padahal, mengagahkan diri menggunakan perbankan Islam walaupun lebih mahal sedikit berbanding konvensional adalah merupakan satu amal soleh yang amat terpuji dan dipandang oleh Allah swt. sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat di atas.
Jika pertimbangan keduniaan mengusai diri, ia adala satu tanda dan bukti umat islam sudah semakin hilang sensitiviti terhadap kebenaran alam barzakh dan akhirat. Padahal, tiada yang lebih zalim daripada sebuah bank yang menyediakan perkhidmatan haram riba, tidak kira semurah mana sekalipun tawaran mereka. Ia adalah kerana bank konvensionaltersebut telah menawarkan riba haram dan ia adalah amat zalim menurut hak Allah swtwalaupun amat menarik disisi mata dan hati manusia.
Allah swt mengingatkan kita lagi bahawa:
Ertinya: "Perhatikanlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian (yang lain dalam perolehan harta). Dan pasti kehidupan akhirat lebih tinggi tingkatnya dan lebih besar keutamaannya." (Al-Isra': 21)
Nabi Muhammad saw menegaskan:
Ertinya: "Tidak akan lepas dua kaki anak Adam di Akhirat di hadapan Allah swt, kecuali setelah ditanya lima perkara: Tentang umurnya dimana ia habiskannya, tentang kepemudaan dan kepemudiannya dimana digunakan, dan tentang hartanya dari mana datangnya dan ke mana dibelanjakannya, dan apakah yang dilakukan dengan ilmunya." (Riwayat At-Tirmidzi, no 2416; Albani: Sohih)
Dalam mengupas isu khusus berkenaan kerjaya peguam dan pemasaran produk pinjaman riba. Al Fadhil ustaz mulakan perbincangan dengan menyentuh hukumnya berdasarkan dalil daripada ayat Al-Qur'an dan Hadis Rasulullah saw.
Dalil pertama (a), Allah swt menegaskan, terjemahannya:
"Dan janganlah kamu bantu-membantu dalam urusan dosa dan permusuhan." (Al-Maidah: 2)
Dalil kedua (b), Hadis Rasulullah saw:
Ertinya: Rasulullah saw melaknat tentang arak, sepuluh golongan: (1) yang memerahnya, (2) yang minta diperahkan untuknya, (3) yang meminumnya, (4) yang membawanya, (5) yang minta dihantarinya, (6) yang menuangkannya, (7) yang menjualnya, (8) yang makan harganya, (9) yang membelinya, (10) yang minta dibelikannya ." (Riwayat Tarmizi, no 1925; hlm 307; At-Tirmidzi: Gharib; Albani: Hasan Sohih)
Keterangan: Walaupun hadis ini menyebut bab arak, tetapi ia merangkumi item haram yang lain berdasarkan kepada kaedah qiyas dalam Islam.
Dalil yang ketiga (c) ialah, Nabi Muhammad saw menyebut:
Ertinya: "Dilaknati Rasulullah saw pemakan riba dan pemberi makan, saksinya dan penulisnya." (Riwayat Abu Daud, no 3333, At-Tirmidzi dan Albani: Hasan Sohih)
Keterangan: Ingin saya jelaskan disini bahawa maksud hadis ini merangkumi:
(i) Pemakan Riba: Individu yang mengenakan riba terhadap pinjamannya dan yang menjual barangan ribawi secra riba lalu memakan untungnya, termasuk di dalamnya pelaburan secra deposit tetap yang memberikan jaminan untung yang sebenarnya adalah riba secara sepakat ulama’
(ii) Pemberi Riba: Individu yang menggunakan khidmat yang berunsur riba walaupun dengan niat tidak redha, sedangkan ia boleh memilih perbankan Islam. Dalam konteks semasa adalah pengguna kad kredit, pengguna perkhidmatan perbankan konvensional dan lain-lain.
(iii) Saksi: Individu yang memberi lesen, kontrak dan perniagaan kepada industri riba. Ia adalah saksi yang meluluskan transaksi riba, sebagaiman tugas saksi. Termasuk juga penjamin-penjamin kepada pinjaman dengan riba, samada pinjaman pelajaran, perniagaan dan lain-lain.
(iv) Penulis: Peguam yang merangka dokumen perjanjian pinjaman bank, insurans dan pelaburan konvensional.
Dalil yang keempat (d) merujuk hadis Nabi saw:
Ertinya: “Sesungguhnya Allah telah mengharamkan arak, maka barangsiapa yang telah mengetahui ayat ini dan dia masih mempunyai arak walaupun sedikit, jangan minum dan jangan menjualnya.”
Keterangan: Dalam hal ini, walaupun hadis ini menceritakan bab arak, tetapi ia merangkumi semua keterlibatan dalam hal yang diharamkan, terutama riba yang lebih besar dosanya daripada arak. Justeru sama seperti hadis diatas, barangsiapa yang telah mengetahui riba itu haram dan masih bekerja sebagai pegawai pemasaran atau peguam, maka haram memakan hasil daripada jualannya dan jangan pula menjualnya.
Dalil yang kelima (e), Nabi Muhammad saw mengingatkan:
Ertinya: “Apabila terzahirnya dengan meluas akan riba dan zina, maka (tindakan) mereka telah menghalalkan (untuk turunnya) azab Allah ke atas mereka.” (Riwayat Al-Hakim, 2/37 dan Abu Yu’la; Al-Hakim: Sohih dan disepakati Az-Zahabi; Albani: Hasan)
Keterangan: Maka, hubungkait peguam dan semua pegawai pemasaran yang terlibat secara langsung menyediakan dokumen pinjaman riba dan mempromosikannya adalah termasuk dalam kategori menyebarluaskan lagi riba di suatu daerah. Justeru hukumnya amat jelas.
Banyak lagi dalil-dalil lain yang semuanya mengulang maksud-maksud dalil di atas tadi. Justeru, berdasarkan dalil-dalil ini, saya memberi jawapan jelas dan tepat bahawa semua peguam yang membantu menyediakan dokumen riba, mengikut konteks hadis, mereka termasuk dalam kategori hadis (c) sama ada dengan suka atau tidak.
Tujuan untuk mendapat bisnes atau tidak bukanlah isunya. Tiada hujah maslahat boleh diguna untuk mempromosi dan membantu riba yang jelas, demikian ditegaskan oleh Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradawi. Ia berbeza dengan kerja di institusi konvensional secara tidak langsung.
Jika ditanya, bagaimana pula dengan ribuan peguam pada hari ini? Jawapan pertama sebagaimana ditegaskan Allah swt:
Ertinya: “Dan jika kamu menuruti orang yang ramai di atas muka bumi ini maka mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah.” (Al-An’am: 116)
Ini memberi maksud bahawa jumlah yang ramai dan diamalkan di seluruh dunia tidak menjadikan yang haram itu halal. Kecuali apabila dalam keadaan tiada pilihan lain dan ia pula terdiri daripada jenis hukum yang tidak ada nas spesifik atau ‘zhonniyah’ iaitu tidak qat’ie. Bagaimanapun riba tidak termasuk dalam kategori ini, kerana pengharamannya adalah PUTUS (qat’ie- tidak berubah menurut zaman dan tempat).
Para peguam masih boleh mendapat wang yuran melalui aktiviti lain seperti merangka draf atau dokumen jual beli rumah yang biasa, sewa dan yang lain-lain yang tidak melibatkan riba. Ia adalah harus dari sudut hukum.
Jika ada pula yang ingin berhujah menggunakan hadis:
Ertinya: “Akan datang satu zaman di mana tidak terkecuali seorang pun kecuali ia makan riba dan jika ia tidak makan sekalipun, ia akan ditimpa debu-debunya.” (Riwayat Abu Daud)
Hujah ini tidak boleh diterima untuk bersikap mengambil mudah terhadap riba, tambahan pula tahap hadis ini yang lemah menurut Imam Al-Munziri kerana perawinya bernama Al-Hasan tidak pernah bertemu Abu Hurairah r.a.
Wallahu a'lam.
Rujukan: Wang, Anda dan Islam (Halal dan Haram dalam Kewangan dan Perbankan) oleh Zaharuddin Abd Rahman terbitan Truewealth Publishing.
Zaharuddin Abd Rahman berpengalaman luas dalam bidang Syariah, kewangan dan perbankan Islam. Beliau kini bertugas sebagai Pensyarah Universiti Antarabangsa Malaysia di Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan. Beliau juga adalah Penasihat Syariah kepada beberapa buah institusi kewangan tempatan.
Sebelum ini beliau pernah bertugas sebagai ketua Jabatan Syariah Asian Finance Bank Berhad, Pengurus Kanan Pembangunan Produk di RHB Islamic Bank Berhad dan Eksekutif Syaeiah Ingress Corporation Berhad.
Zaharuddin Abd Rahman berpengalaman luas dalam bidang Syariah, kewangan dan perbankan Islam. Beliau kini bertugas sebagai Pensyarah Universiti Antarabangsa Malaysia di Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan. Beliau juga adalah Penasihat Syariah kepada beberapa buah institusi kewangan tempatan.
Sebelum ini beliau pernah bertugas sebagai ketua Jabatan Syariah Asian Finance Bank Berhad, Pengurus Kanan Pembangunan Produk di RHB Islamic Bank Berhad dan Eksekutif Syaeiah Ingress Corporation Berhad.
Beliau memegang Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dari Universiti Malaya dan Sarjana (MA) dalam bidang Fiqh dan Usul Fiqh dari Universiti Al-Yarmouk, Jordan.
Profail terkini adalah seperti di link ini http://www.zaharuddin.net/profile.html
No comments:
Post a Comment