Saturday, November 26, 2011

Iman di Hati

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Alhamdulillah alhamdulillah alhamdulillah
Segala puji & syukur hanyalah milik Allah. Alhamdulillah, dengan hidayah, limpah kurnia & kasih sayang Allah, Allah masih izin diri, keluarga, murabbi dan guru, dan sahabat untuk menumpang lagi di muka bumi Allah.

Pada detik ini, alhamdulillah kita berpeluang bertemu dengan tahun baru Islam 1433 Hijriyyah. Kini, kita diambang bulan suci, bulan Muharram. Dengan du'a akhir & awal tahun yang dipohon kepada Allah, dihajatkan agar Allah dapat mengabulkan, menghadiahkan hidayah, mengurniakan kesungguhan, meredhai, memberkati, dan mempermudahkan segala urusan kita. amiin.

Insan agung, Rasulullah saw bersabda:
3 perkara siapa yg ada padanya akn dpt merasai kemanisan iman, iaitu:

1. Bahawa Allah dan RasulNya lebih dikasihi drpd yg selainnya.

2. Seseorang itu kasih kpd seseorang dan tiadalah ia kasih kpdnya melainkan krn Allah iaitu mengasihi seseorang bukan kerana sesuatu kepentingan, tetapi hanyalah kerana Allah.

3. Bahawa ia benci untuk kembali menjadi kekufuran sebagaimana ia benci untk dimasukkan ke dlm api neraka." [Riwayat Bukhari]

Kata IHAB sangat segar di ingatan dan hati. Kemanisan ini dirasai di dunia dan akhirat. Manisnya dirasai di hati seperti manisnya gula yang dapat dirasai dengan lidah. Indahnya jika hati ini dapat sentiasa merasa manisnya iman, rasa seronok berbuat kebaikan dan mencari keredhaan Allah di setiap amalan.

Teringat tulisan IHAB mengenai asas-asas keimanan. Beliau menyentuh mengenai Iman yang benar yang ciri-ciri keimanan iaitu:

1. Bersih dari syirik khafi (syirik tersembunyi) seperti riya' dan syirik jali (syirik terang-terangan) seperti menyekutukan Allah dengan sesuatu.

2. Meresap dalam hati dan bertakhta dalam jiwa.

3. Mengerakkan anggota zahir untuk melakukan ketaatan kepada Allah.

4. Menjadikan perkara-perkara ghaib seolah-olah hadir di depan mata.

5. Memenuhi jiwa dengan perasaan tenang, tabah & tetap pendirian.

6. Memudahkan mereka yang mempunyai iman seperti ini berkorban apa sahaja demi jalan Allah swt.

7. Menambahkan pergantungan, kepercayaan, tawakkal, harapan, takut dan penyerahan mereka kepada Allah.

Pengertian iman yang benar ini  mesti memenuhi hati seseorang Muslim. Jiwa akan ringan melakukan apa sahaja bentuk ibadah dan ikhlas semata-mata kerana Allah. Ibadah dan iman seperti ini mempunyai pengaruh dan kesan yang besar dalam kehidupan di dunia dan akhirat.

Kehidupan di dunia akan dipenuhi dengan kebahagiaan, kegembiraan dan ketenangan yang meresap di seluruh pelusuk jiwa. Kegemilangan yang sugguh indah dan cahaya yang tenang akan memenuhi batin seseorang Muslim.

Dan IHAB, seorang 'alim yan sangat dihormati & bersungguh-sungguh dalam tulisannya menambah bahawa apabila cahaya batin ini bertambah sinarnya dan melimpah di wajah Muslim dan sinar yang dapat dilihat oleh orang-orang yang beriman sekalipun kulit Muslim itu hitam atau sawo matang.

Dan di akhirat nanti, kemanisan iman akan dapat dirasakan lebih manis daripada madu.

Antara tanda-tanda lahirnya kemanisan iman ialah kecintaan seorang Mu'min untuk melakukan ibadah, rasa selesa dan tenang untuk melakuakn ibadah dan rasa rindu dan lapang dada dalam beribadah.

Kita tidak boleh rasa pelik dan anggap perkara ini khayalan semata-mata kerana sememangnya iman mempunyai kemanisan yang dapat dirasakan oleh Ruh sebagaimana lidah dapat merasakan kemanisan makanan. Iman adalah kemanisan dan kemanisan itu akan bertambah apabila iman bertambah kuat & termeteri.

Merujuk 100 targets yang saya coretkan 5 bulan dahulu, alhamdulillah ada yang sudah terlaksana ^_^ dan ada juga yang masih di takuk perlu disegera ^_~ & di tahap masih tidak dimula T_T. Gi mana ya??

Namun, Alhamdulillah, Allah izin saya berpeluang bersama dan mencipta kenangan dengan sahabat-sahabat saya. Walaupun mungkin tidak banyak, tetapi saya harapkan ia memberi kesan di hati saya dan motivasi buat saya untuk sentiasa memperbaiki diri. Belajar bersama, berprogram, bermusafir & bermalam bersama, makan, bermain & berkongsi masalah & solusi. Mereka semua berpotensi dan sangat menghargai diri sahabat.

Indahnya persahabatan yang bertaut di hati ini. Saya du'akan mereka semua & kita semua bahagia dan cemerlang di dunia & akhirat. Cemerlang dalam mendapatkan keredhaan Allah dalam setiap amal soleh yang dilakukan.

Bersyukur dengan nikmat yang dikurnia Allah dan sentiasa bersabar dengan segala ujian yang Allah hadirkan. Indeed, setiap ujian adalah tanda Allah menyayangi kita. Apabila diuji, kita senang dan mudah mengadu kepada Allah. Mesti yakin bahawa ada hikmah indah yang tersembunyi dalam setiap mehnah (ujian). Mesti sentiasa bersungguh-sungguh lagi untuk mencapai cita-cita mulia dan murni diiringi dengan konsistensi hanya keranaNya.


Dari Abi Hamzah Anas bin Malik radiyallahu 'anh khadam Rasulullah saw dari Nabi saw, sabdanya: Tiada beriman seorang kamu hingga ia mencintai untuk saudaranya apa yang ia cintai untuk dirinya. Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.

Jadilah mereka yang suka memberi bukan hanya dan asyik menerima. Namun, sifat malu mesti sentiasa ada sebagai batas. Malu mesti seiring dengan iman. Sayangkan semua tidak bermakna kita perlu mengadai harga diri. Jadilah seorang yang bersederhana, menghormati semua dan bersangka baik keranaNya. Walaupun tidak nampak dari zahir, dalam hati hanya Allah yang tahu. Dan Allah sahajalah yg memiliki hati-hati kita.

IMAN bekasnya HATI. Rasulullah saw bersabda: IMAN bukanlah sesuau yang kita angan-angankan dan cita-citakan, tetapi IMAN adalah dalam HATI dan dibuktikan dengan PERBUATAN.











Rasulullah saw banyak menyebut mengenai IMAN, Rasulullah saw memang Doktor Hati yang ulung. Baginda mengubat hati-hati umat dengan penuh hikmah dan sabar. Bahkan Rasulullah saw melarang umatnya dari kemarahan. Larangan ini sungguh besar faedahnya. Kerana kemarahan bukan menambahkan kebaikan, tetapi memburukkan lagi keadaan.

Dari Abu Hurairah radiyallahu 'anh, bahawasanya seorang lelaki telah berkata kpd Nabi sallallahu 'alayhi wasallam: Berilah wasiat kepada aku. Sahut Nabi: Janganlah engkau marah. Kemudian ia mengulangi beberapa kali. Sabdanya: Janganlah engkau marah. Diriwayatkan oleh Bukhari. 

Allah berfirman dalam Surah Al-Thalaq ayat 2 hingga 3, : "Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya ia jadikan baginya satu jalan keluar dan ia kurniakan dia dari jalan yang ia tidak sangka-sangka."

Dan dalam Surah al-Hud, ayat 114, Allah swt berfirman: "Sesungguhnya segala kebaikan dapat menghapuskan segala kejahatan."

Di samping itu pernah Rasulullah saw mengajar kepada 'Umar satu du'a mengenai pemeliharaan ini, iaitu:

"Ya Allah! Peliharakanlah aku dengan Islam waktu aku berdiri, dan peliharakanlah aku dengan Islam di waktu aku duduk, dan peliharalah aku dengan Islam waktu aku tidur, dan janganlah engkau menuruti musuh dan orang dengki terhadapku."

Kesimpulannya, pemeliharaan Allah akan agama Islam bagi seseorang adalah perkara yang amat penting dan utama. Pemeliharaan ini bererti terpelihara imannya pada bila-bila masa hingga mati dengan sempurna amal-amalnya yang dituntuti kepadanya.

"Jika kita ingin lihat wajah Allah di Akhirat, kita mesti lihat Allah dimana-mana di dunia ini"

Wallahu a'lam bissowab.

No comments:

Post a Comment